Suami isteri ditemukan meninggal dunia di rumah teres di Beranang

KAJANG: Sepasang suami isteri ditemukan meninggal dunia di ruang atas sebuah rumah teres di Bandar Tasik Kesuma, Beranang, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Nazron Abdul Yusof, berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 6.31 petang.
Menurutnya, pemeriksaan awal di lokasi mendapati kedua-dua mangsa, warga tempatan berusia lingkungan 30-an, ditemui tidak bernyawa di dua ruang berasingan di tingkat atas rumah berkenaan.
"Kedua-dua mayat telah dihantar ke Hospital Kajang untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat dan siasatan lanjut.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Sarjan Mejar Anif Jawawi di talian 016-6061 659. Polis juga meminta semua pihak menghormati perasaan dan privasi keluarga mangsa.




