Tiga rakyat Malaysia didenda hampir RM1,500 di Hat Yai kerana halang trafik dan ubah suai kenderaan

SONGKHLA: Tiga pelancong Malaysia didenda sebanyak 12,000 baht (kira-kira RM1,447) oleh polis Thailand selepas didapati menghalang trafik dan melakukan ubah suai kenderaan secara haram di Jalan Phetkasem, Hat Yai, awal pagi Ahad.
Penolong Pemeriksa Trafik Balai Polis Hat Yai, Leftenan Polis Prut Pattanapran, berkata ketiga-tiga lelaki berusia antara 26 dan 30 tahun itu bersama seorang warga Thailand dipanggil ke balai polis selepas pihaknya menerima aduan orang ramai.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 pagi dan membabitkan tiga kereta berdaftar Malaysia berwarna biru, merah dan putih, serta sebuah kereta hitam milik warga Thailand itu yang bergerak secara konvoi.
“Pemandu kereta hitam di hadapan dipercayai merakam video untuk kandungan media sosial, manakala kumpulan kenderaan itu membuat beberapa pusingan U, menekan pedal minyak dengan kuat dan menghalang lalu lintas,” katanya kepada pemberita pada Ahad.
Prut berkata, tindakan mereka menimbulkan kemarahan penduduk setempat sebelum rakaman kejadian tular di media sosial.
“Kumpulan pelancong ini dipercayai merakam kandungan media sosial ketika melakukan aksi berkenaan dan mungkin tidak sedar tentang peraturan lalu lintas di Thailand,” katanya.
Semua suspek mengaku bersalah dan membayar denda 4,000 baht (kira-kira RM482) seorang sebelum dibebaskan pada Ahad.
Prut menasihati pelancong asing supaya memahami, menghormati dan mematuhi undang-undang Thailand sepanjang berada di negara itu bagi mengelakkan melakukan kesalahan.
Foto: Dominic Nelson / Wikimedia Commons (CC BY-SA 4.0)




