Timbalan PM Laos lawat Malaysia tiga hari sempena 60 tahun hubungan diplomatik

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Laos, Thongsavan Phomvihane, berada di Malaysia selama tiga hari bagi lawatan rasmi sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kedua-dua negara.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, Thongsavan dijadualkan mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan mengadakan rundingan dua hala dengan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, di Kuala Lumpur.
"Pertemuan tersebut akan membolehkan kedua-dua pihak menilai kemajuan kerjasama dua hala, termasuk dalam bidang perdagangan dan pelaburan, penghubungan dan pengangkutan, industri halal, ekonomi digital serta pembangunan kapasiti, selain bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama," menurut kenyataan itu.
Kedua-dua menteri luar juga dijangka menandatangani memorandum persefahaman mengenai kerjasama latihan diplomatik antara Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) Malaysia dengan Institut Hal Ehwal Luar Negeri Laos.
Pada 2025, dagangan dua hala antara Malaysia dan Laos meningkat 157.8 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada RM258.4 juta. Eksport Malaysia ke Laos bernilai RM77.7 juta, manakala import dari negara itu berjumlah RM180.7 juta.
Dari Januari hingga Ogos 2026, dagangan dua hala meningkat 28.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu kepada RM225.3 juta.
Antara pelaburan Malaysia di Laos ialah Projek Hidroelektrik Don Sahong 260 megawatt di Champasak, yang merupakan pelaburan tenaga bersih terbesar Malaysia di negara itu.




