Rabu, 25 November 2026
TERKINI
MCA persoal kesediaan sekolah terima murid enam tahun, bimbang tekanan sistem pendidikanKLK catat kerugian bersih RM118.4 juta bagi FY26 selepas peruntukan rosot nilai RM1.61 bilionBas Kementerian Kesihatan terbakar berhampiran R&R Senawang, 14 penumpang selamatHarga RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi turun 25 sen seliter mulai 26 NovemberUntung bersih TM suku ketiga susut 28 peratus kepada RM494 jutaTiada rancangan bubar DUN Pahang, kata Wan RosdyLebih 200,000 pelarian masih di Malaysia, Syed Saddiq persoal 'transit sampai bila?'Amir Hamzah dilapor pertimbang sertai Maybank selepas tamat tempoh senatorPenduduk Pulau Pinang diminta bersiaga, air pasang besar dijangka cecah 2.71 meterPunca kematian Patrick Stewart didedahkan, sijil kematian sebut gangguan neurokognitif Lewy body

Unit IOIPG REIT dibuka 5 peratus di bawah harga IPO pada hari pertama didagangkan

KUALA LUMPUR: Unit IOIPG REIT, tawaran awam permulaan (IPO) REIT terbesar pernah dilakukan di Malaysia, dibuka pada 87 sen atau kira-kira lima peratus di bawah harga IPO 91 sen pada hari pertama didagangkan di Bursa Malaysia hari ini.

Unit amanah itu sempat jatuh ke paras terendah 86.5 sen sebelum pulih kepada 87.5 sen menjelang rehat tengah hari, dengan 19.4 juta unit didagangkan. Pada harga tersebut dan saiz dana 5.5 bilion unit, REIT itu mempunyai permodalan pasaran RM4.81 bilion.

IPO berkenaan mengumpul kira-kira RM2 bilion untuk IOI Properties Group Bhd, penaja IOIPG REIT.

Permulaan yang lesu itu berlaku selepas harga akhir IPO dikurangkan lima sen daripada harga runcit indikatif awal 96 sen, berikutan sambutan pelabur yang suam-suam kuku. Sebahagian IPO tidak dilanggan sepenuhnya dan diagihkan semula kepada kategori pelabur lain. Bahagian awam Malaysia hanya dilanggan lebih 0.59 kali.

Penyenaraian itu sebahagian usaha IOI Properties mengurangkan pinjaman besarnya dan mengukuhkan kunci kira-kira. Syarikat itu sebelum ini menyatakan sedang meneroka satu lagi amanah berasingan bagi aset di Singapura.

IOIPG REIT mempunyai portfolio sembilan hartanah bernilai RM7.66 bilion, berpaksikan IOI City Mall di Putrajaya. Portfolio itu turut merangkumi enam hotel di bawah jenama Marriott International dan dua pembangunan pejabat.

Ketua Pegawai Eksekutif IOI Properties yang juga Pengerusi Eksekutif IOIPG REIT, Lee Yeow Seng, mempertahankan penetapan harga IPO selepas majlis penyenaraian.

Beliau berkata harga akhir 91 sen seunit sepadan dengan nilai aset bersih (NAV) pro forma amanah itu. "Pada masa ini, IOI Properties didagangkan kira-kira 40 peratus di bawah nilai buku, jadi kami sebenarnya dapat mewujudkan nilai dengan menyenaraikan IOIPG Malaysia REIT pada nilai buku," katanya.

"Kami tidak mahu meletakkan harga IPO pada tahap maksimum, hingga tiada ruang kenaikan dan tiada apa-apa lagi untuk pelabur," katanya.

Sementara itu, Kenanga Investment Bank memulakan liputan dengan saranan "outperform" dan harga sasaran RM1.20, manakala Affin Hwang Investment Bank mengeluarkan saranan "beli" dengan harga sasaran RM1.12.

TopikIOIPG REITBursa MalaysiaIOI PropertiesIPO

Berita berkaitan