Zetrix tawar bayar RM100 juta tunggakan JPJ serta-merta, baki dalam enam bulan

KUALA LUMPUR: Syarikat Zetrix menawarkan untuk membayar RM100 juta kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta-merta bagi menyelesaikan tunggakan yang dipikulnya, manakala baki akan dilunaskan dalam tempoh enam bulan.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah, berkata cadangan itu dikemukakan syarikat berkenaan melalui surat kepada kementerian bertarikh 5 November. Menurut beliau, baki tunggakan akan dibayar dalam enam ansuran bulanan yang sama banyak, iaitu RM35.67 juta setiap satu.
Beliau memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa cadangan itu dikemukakan kepada Kementerian Kewangan pada 10 November.
"Jumlah penalti yang akan dikenakan ialah RM29 juta berdasarkan terma dan syarat perjanjian," katanya.
Hasbi berkata, penasihat undang-undang kementerian akan mengeluarkan notis tuntutan kepada Zetrix, dan tindakan mahkamah akan menyusul jika bayaran tidak dibuat dalam tempoh ditetapkan, selepas berunding dengan Jabatan Peguam Negara.
"Notis tuntutan tidak akan dikeluarkan dan tindakan mahkamah tidak akan diambil sekiranya kerajaan bersetuju dengan cadangan Zetrix," katanya.
Beliau turut menegaskan JPJ memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan berkaitan perkara itu.
Sebelum ini, JPJ menggantung MyEG Sdn Bhd dan Zetrix, yang dahulunya dikenali sebagai MyEG Services Bhd, daripada berperanan sebagai ejen pungutan bayaran dan saman jabatan itu. Penggantungan dibuat selepas didedahkan kedua-dua syarikat berhutang ratusan juta ringgit kepada jabatan berkenaan sejak Mei.




