Aktivis iklim Malaysia ditahan selepas protes di COP31 di Turkiye

TURKIYE: Seorang aktivis iklim Malaysia, Amalen Sathananthar, ditahan selepas membuat protes ketika sidang kemuncak iklim COP31 berlangsung.
Amalen, ahli Artivist Network, berdiri di atas meja semasa Presiden COP31, Murat Kurum, menyampaikan ucapan pembukaan. Beliau memegang tali gantung merah di lehernya dan memakai baju-T tertera mesej “You are killing the future”, menurut laporan The Guardian.
Beliau membantah ketiadaan rujukan terhadap bahan api fosil dalam draf akhir perjanjian itu.
“Anda sedang membunuh masa depan. Kenapa tidak bunuh saya sekarang? Krisis iklim sedang membunuh kita dan anda tidak berbuat apa-apa. Anda tidak menghapuskan bahan api fosil, anda sedang membunuh 1.5°C,” jeritnya.
“Hari ini hari lahir saya. Pada tahun yang sama saya dilahirkan, anda menandatangani Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim. Tiga puluh empat tahun kemudian, tiada apa-apa berlaku. Dunia sedang runtuh dan anda terus melengah-lengahkan,” katanya.
Sasaran 1.5°C ialah matlamat iklim global di bawah Perjanjian Paris untuk menghadkan pemanasan purata global jangka panjang pada paras 1.5°C di atas paras pra-perindustrian.
Menurut BBC, rundingan iklim COP31 gagal mencapai kata sepakat selepas Kesatuan Eropah (EU) dan pihak lain menolak draf akhir perjanjian yang tidak merujuk kepada usaha mengurangkan permintaan global terhadap bahan api fosil.
Menteri Ireland, Darragh O’Brien, yang mewakili EU, berkata adalah “tidak boleh diterima” jika wujud pakatan iklim yang tidak menyebut langsung bahan api fosil. Beliau menegaskan EU tidak boleh menerima teks itu atas asas tersebut dan menyifatkannya sebagai “greenwashing”.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, turut menyentuh “kepentingan bahan api fosil yang berkuasa”, yang katanya “memesongkan sains, melengahkan dasar, menyekat tindakan dan mengaut keuntungan besar sementara rakyat di mana-mana membayar harganya”.
Foto: Lua Eva Blue / Wikimedia Commons (CC BY 4.0)




