Rabu, 25 November 2026
TERKINI
MCA persoal kesediaan sekolah terima murid enam tahun, bimbang tekanan sistem pendidikanKLK catat kerugian bersih RM118.4 juta bagi FY26 selepas peruntukan rosot nilai RM1.61 bilionBas Kementerian Kesihatan terbakar berhampiran R&R Senawang, 14 penumpang selamatHarga RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi turun 25 sen seliter mulai 26 NovemberUntung bersih TM suku ketiga susut 28 peratus kepada RM494 jutaTiada rancangan bubar DUN Pahang, kata Wan RosdyLebih 200,000 pelarian masih di Malaysia, Syed Saddiq persoal 'transit sampai bila?'Amir Hamzah dilapor pertimbang sertai Maybank selepas tamat tempoh senatorPenduduk Pulau Pinang diminta bersiaga, air pasang besar dijangka cecah 2.71 meterPunca kematian Patrick Stewart didedahkan, sijil kematian sebut gangguan neurokognitif Lewy body

Alice Huang dilapor berhubung dengan agensi risikan China ketika menjalin hubungan dengan CEO Nvidia

WASHINGTON: Alice Huang, wanita China yang menjadi tumpuan skandal Nvidia baru-baru ini, dilaporkan terus berhubung dengan seorang pegawai agensi risikan teratas China selama lebih setahun ketika menjalin hubungan dengan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang.

Akhbar New York Times melaporkan pada Ahad bahawa Alice Huang berhubung dengan seorang pegawai Kementerian Keselamatan Negara China dari musim bunga 2025 sehingga musim luruh tahun ini. Laporan itu memetik individu yang mengetahui laporan risikan yang menggambarkan pertemuan tersebut.

Jurucakap Jensen Huang enggan mengulas. Jurucakap Nvidia dan Kedutaan China di Washington pula tidak segera menjawab permintaan komen, manakala agensi berita Reuters tidak dapat menghubungi Alice Huang.

Alice Huang sebelum ini mengetuai Megaspeed International yang berpangkalan di Singapura, pelanggan penting Nvidia yang pernah menyumbang jualan cip bernilai berbilion dolar. Pihak berkuasa Amerika Syarikat menyiasat Megaspeed sejak 2024 atas kebimbangan syarikat itu menyeludup cip kecerdasan buatan (AI) termaju Nvidia ke China.

Laporan terbaharu itu muncul ketika pegawai AS menimbulkan keraguan terhadap dakwaan awal bahawa Alice Huang ialah perisik, seperti yang dilaporkan akhbar sama bulan lalu. Laporan pada 29 Oktober itu mencetuskan skandal yang membawa kepada peletakan jawatan Jensen Huang dua minggu kemudian dan penurunan mendadak harga saham Nvidia.

Pegawai pentadbiran Trump berulang kali menegaskan mereka belum membuat kesimpulan bahawa Alice Huang menjadi perisik untuk China. Peguam Negara AS, Todd Blanche, bulan ini berkata Jabatan Kehakiman belum memutuskan sama ada beliau perisik China.

Pengarah Perisikan Negara AS, Jay Clayton, mengulangi pendirian itu pada Ahad. "Peguam Negara Blanche sangat jelas bahawa ini perkara yang sedang disiasat, melibatkan Cik Huang dan syarikatnya, atas pelbagai perkara," katanya dalam program "State of the Union" CNN. "Dan saya akan membiarkan siasatan itu berjalan."

Skandal itu turut mendorong penelitian lebih mendalam terhadap pendekatan Washington dalam kawalan eksport ke China, apabila penggubal undang-undang daripada kedua-dua parti mempersoalkan sama ada pentadbiran Trump terlalu longgar dalam penguatkuasaan dan peraturan terhadap cip bernilai tinggi itu.

Senator Republikan dari Louisiana, John Kennedy, berkata dalam program "Meet the Press" NBC bahawa hubungan peribadi antara kedua-duanya kurang menarik minatnya. "Saya harap dia berseronok. Itu perkara paling mahal sejak Helen of Troy," katanya.

TopikAlice HuangNvidiaJensen HuangMegaspeedChina

Foto: Coolcaesar / Wikimedia Commons (CC BY-SA 4.0)

Berita berkaitan