Rabu, 25 November 2026
TERKINI
MCA persoal kesediaan sekolah terima murid enam tahun, bimbang tekanan sistem pendidikanKLK catat kerugian bersih RM118.4 juta bagi FY26 selepas peruntukan rosot nilai RM1.61 bilionBas Kementerian Kesihatan terbakar berhampiran R&R Senawang, 14 penumpang selamatHarga RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi turun 25 sen seliter mulai 26 NovemberUntung bersih TM suku ketiga susut 28 peratus kepada RM494 jutaTiada rancangan bubar DUN Pahang, kata Wan RosdyLebih 200,000 pelarian masih di Malaysia, Syed Saddiq persoal 'transit sampai bila?'Amir Hamzah dilapor pertimbang sertai Maybank selepas tamat tempoh senatorPenduduk Pulau Pinang diminta bersiaga, air pasang besar dijangka cecah 2.71 meterPunca kematian Patrick Stewart didedahkan, sijil kematian sebut gangguan neurokognitif Lewy body

Anwar hadiri Sidang Kemuncak Asean ke-49, krisis Myanmar dan Laut China Selatan jadi agenda

MANILA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-49 dan sidang-sidang berkaitan yang bermula di sini hari ini, dengan krisis Myanmar dan ketegangan di Laut China Selatan dijangka menjadi agenda utama.

Anwar tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino kira-kira jam 8 malam semalam bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Beliau disambut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Setiausaha Kerajaan Tempatan dan Dalam Negeri Filipina, Juanito Victor Remulla Jr, Duta Malaysia ke Filipina, Datuk Abdul Malik Melvin Castelino Anthony, dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Amran Mohamed Zin.

Delegasi Malaysia turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, serta pegawai kanan kementerian dan agensi berkaitan.

Hari ini, Anwar dijadual menghadiri majlis perasmian di Pusat Konvensyen Antarabangsa Filipina (PICC), yang dipengerusikan Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, selaku Pengerusi Asean. Sidang pleno dan sesi retreat para pemimpin akan menyusul.

Selepas itu, Perdana Menteri bersama pemimpin Asean lain akan mengadakan pertemuan berasingan dengan wakil Perhimpunan Antara Parlimen Asean (AIPA), Majlis Penasihat Perniagaan Asean (Asean-BAC) dan belia Asean. Pada sebelah petang, beliau dijadual menerima kunjungan hormat Presiden Bank Pembangunan Asia (ADB), Masato Kanda.

Menurut Kementerian Luar, sidang kemuncak itu memberi peluang kepada Malaysia bertukar pandangan mengenai pembinaan Komuniti Asean dan hala tuju blok itu, dengan perbincangan tertumpu kepada pengukuhan daya tahan serantau, keselamatan tenaga dan rantaian bekalan di tengah perubahan keadaan global.

Para pemimpin dijangka menilai pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) mengenai Myanmar serta membincangkan langkah seterusnya. Dalam bidang keselamatan maritim, perbincangan dijangka merangkumi cadangan penubuhan Pusat Maritim Asean dan kemajuan rundingan Tatakelakuan (COC) di Laut China Selatan. Isu pencemaran jerebu rentas sempadan dan krisis di Asia Barat turut dijangka dibangkitkan.

Esok, Anwar dijadual menghadiri sidang kemuncak bersama China, Australia, Korea Selatan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Program beliau turut merangkumi Sidang Kemuncak Asean-Amerika Syarikat ke-12 dan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat serantau.

Anwar juga dijadual pulang sebentar ke Kuala Lumpur pada petang esok untuk menyambut ketibaan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, yang dijangka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur jam 10 malam. Beliau akan kembali ke Manila pada Selasa untuk majlis penutup dan penyerahan pengerusi Asean daripada Filipina kepada Singapura.

Sidang kemuncak tiga hari itu bertemakan "Navigating Our Future, Together".

TopikAnwar IbrahimSidang Kemuncak AseanManilaMyanmarLaut China Selatan

Berita berkaitan