AS sekat eksport cip AI termaju ke Malaysia dan Singapura, lesen eksport kini diperlukan

WASHINGTON: Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat (AS) mengetatkan kawalan eksport cip kecerdasan buatan (AI) termaju ke Malaysia, Singapura dan tiga negara lain, dalam usaha menyekat akses China kepada cip syarikat seperti Nvidia.
Peraturan baharu itu menetapkan lima negara berkenaan sebagai lokasi yang mempunyai risiko lebih tinggi cip tersebut dilencongkan ke China. Penghantaran cip yang dilindungi peraturan itu kini memerlukan lesen eksport AS.
Peraturan itu turut mengenakan syarat tambahan ke atas pusat data luar negara yang membekalkan kapasiti pengkomputeran besar kepada syarikat yang beribu pejabat di China. Namun, hanya pusat data yang menyediakan lebih 12 juta jumlah prestasi pemprosesan (TPP) akan disasarkan.
Jabatan itu juga memperketat sekatan ke atas pengaturan pembuatan dan pembungkusan cip termaju di luar negara. Pereka cip yang terkesan tidak lagi boleh menggunakan faundri asing tanpa kelulusan AS.
Bagaimanapun, sekatan terbaharu itu tidak terpakai kepada syarikat AS yang mengendalikan pusat data di lima negara terbabit, atau kepada sistem yang digunakan oleh peruncit dalam talian dan syarikat media sosial kerana ia tidak dianggap menimbulkan ancaman keselamatan negara yang sama.
Langkah kerajaan AS itu diumumkan selepas Ketua Eksekutif Nvidia, Jensen Huang, meletakkan jawatan berikutan laporan mengenai hubungan sulit dengan seorang wanita yang bekerja di Megaspeed, sebuah syarikat awan berpangkalan di Singapura dan rakan kongsi Nvidia yang menyewakan kuasa pengkomputeran di pusat datanya.
Pihak berkuasa Malaysia pula sedang menyiasat Speedmatrix Sdn Bhd, penyewa di pusat data tempatan yang dikaitkan dengan Megaspeed, berhubung dakwaan AS mengenai perolehan haram serta kemungkinan eksport semula atau pelencongan cip Nvidia termaju ke China.
Dalam satu nota hari ini, UOB Kay Hian menyatakan kesan terhadap Malaysia bergantung sebahagian besarnya kepada pemilikan syarikat penerima cip dan pengguna akhir yang mengakses kapasiti pengkomputeran itu.
Penyedia perkhidmatan awan AS yang membawa masuk cip termaju ke Malaysia untuk operasi sendiri mungkin layak mendapat pengecualian, selagi mematuhi syarat pelaporan yang ditetapkan.
Namun, pengendali pusat data Malaysia yang menerima cip secara langsung berkemungkinan berdepan keperluan pelesenan tambahan, manakala kemudahan yang membekalkan kapasiti pengkomputeran besar kepada pelanggan di wilayah terhad seperti China, Hong Kong dan Macau boleh menghadapi pemantauan lebih ketat.
Langkah itu bertujuan menutup ruang yang membolehkan syarikat yang tidak dapat membeli cip terhad AS secara terus menyewa kapasiti pengkomputeran dari jauh melalui kemudahan di luar negara.
Foto: BalticServers.com / Wikimedia Commons (CC BY-SA 3.0)




