‘Bulan kedua bumi’ asteroid 2026 QQ8 dijangka pergi Januari 2027

WASHINGTON: Bumi kini mempunyai ‘bulan kedua’ buat sementara waktu apabila sebuah asteroid kecil, 2026 QQ8, berada di bawah pengaruh graviti bumi ketika mengelilingi matahari. Asteroid itu dijangka meninggalkan kawasan berhampiran planet ini pada bulan depan atau awal Januari 2027.
Menurut ahli astronomi, 2026 QQ8 berukuran kira-kira satu hingga dua meter dan terlalu kecil untuk dilihat dengan mata kasar. Kehadirannya tidak menimbulkan ancaman kerana objek itu tidak berada pada laluan perlanggaran dengan bumi.
Fenomena itu berlaku apabila asteroid yang menghampiri bumi berada pada kedudukan dan kelajuan tertentu sehingga tarikan graviti planet menyebabkan objek berkenaan ‘terikat sementara’.
Fenomena ‘bulan mini’ bukan perkara baharu kerana bumi pernah mengalami keadaan sama apabila asteroid kecil tertentu ‘ditangkap’ sementara oleh graviti sebelum kembali mengorbit matahari.
Walaupun saiznya amat kecil berbanding bulan sebenar, kehadiran 2026 QQ8 memberi peluang kepada ahli astronomi mengkaji lebih lanjut pergerakan objek angkasa yang kerap melintasi kawasan sekitar bumi.
Asteroid itu dijangka menghampiri bumi sekali lagi pada masa hadapan, namun tidak akan terperangkap dalam orbitnya seperti sekarang.




