Guan Eng kritik Chow, Zairil kerana tidak jelaskan bayaran tahunan RM210 juta kepada Perak

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mendakwa Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Exco negeri, Zairil Khir Johari gagal menjelaskan alasan di sebalik syarat bayaran tahunan RM210 juta kepada Perak dalam perjanjian pembelian air terawat.
Dalam satu kenyataan, Lim berkata perkara itu didedahkan oleh lima pengarah bebas PBA Holdings Bhd (PBAH) pada mesyuarat agung luar biasa pada 12 November.
Lima pengarah yang tidak bersetuju itu ialah Brian Tan, Lim Eng Huat, Nor Hatina Salleh, Lim Seang Lee dan Raja Azmi Raja Nazuddin.
Menurut Lim, mereka membantah cadangan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) membeli air terawat daripada Perak di bawah Skim Bekalan Air Perak Utara.
"Chow dan Zairil mengecewakan rakyat Pulau Pinang apabila enggan menjelaskan mengapa PBAPP perlu terus membayar RM210 juta setahun selama 40 tahun, atau keseluruhan RM8.4 bilion, kepada Perak walaupun setitik air terawat tidak dibekalkan kepada Pulau Pinang.
"Kelima-lima pengarah itu bimbang PBAPP tetap terikat dengan caj kapasiti tahunan walaupun menerima kurang daripada 300 juta liter air terawat yang dikontrakkan atau, dalam senario paling buruk, tidak menerima langsung," katanya.
Lim berkata, perjanjian yang dijadual berkuat kuasa pada 31 Mac 2032 itu akan mewajibkan PBAPP membayar sekurang-kurangnya RM24.6 bilion kepada Perak dalam tempoh 40 tahun.
Jumlah itu terdiri daripada RM8.4 bilion caj kapasiti tetap dan RM16.2 bilion caj bekalan.
Beliau berkata, caj bekalan boleh meningkat kerana tarif awal RM1.70 per meter padu tertakluk kepada semakan semula sepanjang tempoh 40 tahun, sehingga mencecah RM7.21 per meter padu.
"Tarif yang dikenakan kepada pengguna mungkin naik lagi RM1 per meter padu bagi menampung kos lain yang ditanggung PBAPP," katanya.
Lim berkata, tarif itu juga boleh melebihi RM7.21 per meter padu selepas semakan kontrak pada tahun ke-22.
Mempersoalkan harga air terawat yang dibeli daripada Perak, Lim menegaskan bahawa perkara yang lebih membimbangkan ialah bayaran kapasiti wajib yang perlu dibuat PBAPP tanpa mengira sama ada air diterima atau tidak.
Beliau menyifatkan pengaturan itu tidak seimbang dan berpotensi menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap pengendalian perjanjian berkenaan oleh kerajaan negeri.
Foto: Firdaus Latif / Wikimedia Commons (CC BY-SA 2.0)




