Rabu, 25 November 2026
TERKINI
Pengecualian visa warga India tamat 1 Januari 2027, permohonan dibuka 1 DisemberMCA persoal kesediaan sekolah terima murid enam tahun, bimbang tekanan sistem pendidikanKLK catat kerugian bersih RM118.4 juta bagi FY26 selepas peruntukan rosot nilai RM1.61 bilionBas Kementerian Kesihatan terbakar berhampiran R&R Senawang, 14 penumpang selamatHarga RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi turun 25 sen seliter mulai 26 NovemberUntung bersih TM suku ketiga susut 28 peratus kepada RM494 jutaTiada rancangan bubar DUN Pahang, kata Wan RosdyLebih 200,000 pelarian masih di Malaysia, Syed Saddiq persoal 'transit sampai bila?'Amir Hamzah dilapor pertimbang sertai Maybank selepas tamat tempoh senatorPenduduk Pulau Pinang diminta bersiaga, air pasang besar dijangka cecah 2.71 meter

Ibu rayu anak hilang tujuh tahun pulang, dakwa dipengaruhi lelaki tua menyamar "Puteri Nabila"

MELAKA: Pasangan suami isteri merayu anak sulung mereka, Muhd Akmal Shahrul Ab Rahim, 28, yang hilang sejak tujuh tahun lalu supaya pulang ke pangkuan keluarga.

Ibunya, Asiah Basiron, 51, berkata Akmal kali terakhir dilihat pada 3 Oktober 2019 ketika keluar dari rumah mereka di Pulau Gadong kira-kira jam 5 petang untuk ke tempat kerja di sebuah kilang solar di Tanjung Minyak.

Menurutnya, Akmal anak yang baik dan tiada masalah dengan keluarga, namun mula berubah sikap selepas berkenalan dengan seorang wanita di Facebook menggunakan nama Puteri Nabila Puteri.

Selepas kira-kira dua bulan, Asiah mendakwa anaknya sebenarnya berhubung dengan seorang lelaki warga emas yang dipercayai menyamar sebagai wanita itu. Katanya, lelaki berkenaan turut memainkan beberapa watak, termasuk sebagai bapa dan pembantu rumah kepada wanita terbabit, sehingga Akmal mempercayai hubungan itu.

"Pada mulanya dia beritahu saya ada teman wanita yang mahu berkenalan dengannya. Akmal sebelum ini tidak pernah bercinta, jadi saya tidak mengesyaki apa-apa," katanya ketika ditemui di rumahnya di Pulau Gadong.

Pada hari kejadian, Asiah berkata anaknya beberapa kali memeluk dan mencium pipinya sebelum keluar. "Dia peluk saya sampai tiga kali dan berpesan supaya saya peluknya kuat-kuat kerana katanya nanti tidak dapat berjumpa lagi," katanya.

Suaminya, Ab Rahim Yaakob, 53, yang berasa curiga mengekori Akmal dan melihat anak mereka bertemu seorang lelaki di sebuah kedai di Tanjung Minyak. Bagaimanapun, beliau gagal mengekori mereka selepas lelaki itu membawa Akmal pergi dengan motosikal.

Sejak itu, keluarga tidak menerima sebarang khabar walaupun membuat laporan polis di Melaka dan Kuala Lumpur. Mereka pernah menerima maklumat Akmal berada di Taman Tenaga, Cheras, tetapi dia sudah tiada ketika mereka tiba. Asiah juga mendakwa menerima maklumat orang awam yang melihat Akmal bersama lelaki itu dan dikatakan tidak banyak bercakap serta hanya menurut arahan. Semua maklumat itu tidak dapat disahkan.

Kehilangan Akmal semakin dirasai selepas anak kedua mereka, 27, meninggal dunia Jun lalu. "Selepas adiknya meninggal dunia, saya semakin sedih kerana seorang anak sudah tiada, manakala seorang lagi masih tidak diketahui di mana," katanya.

"Akmal, mama rindu sangat. Baliklah, Mal. Adik-adik semua rindukan Mal, ayah pun rindukan Mal. Ayah sekarang tidak sihat," katanya dalam nada sebak.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Akmal diminta menghubungi Asiah di talian 017-6226025.

TopikMelakaOrang hilangMuhd Akmal ShahrulPulau Gadong

Berita berkaitan