Imigresen Sabah tahan 12 warga China disyaki dalang penipuan dalam talian di Damai

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Sabah menahan 12 warga China yang disyaki mengendalikan penipuan dalam talian dari sebuah banglo di sebuah taman perumahan di Damai di sini.
Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof, berkata suspek berusia antara 20 dan 40 tahun itu ditahan pada 11 pagi Selasa menerusi Op Serkap, hasil maklumat orang awam.
Menurut beliau, siasatan mendapati kesemua mereka melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, termasuk tinggal lebih masa, gagal mengemukakan dokumen perjalanan dan menyalahgunakan pas.
"Daripada 12 orang yang ditahan, empat kemudiannya mengemukakan pasport apabila diminta, tetapi semakan mendapati mereka telah tinggal lebih masa," katanya pada sidang media di sini pada Rabu.
Lapan lagi yang gagal atau enggan mengemukakan dokumen perjalanan disiasat di bawah Seksyen 61C kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah. Empat individu yang mengemukakan pasport itu pula disiasat di bawah Seksyen 51C kerana tinggal lebih masa dan Seksyen 39B kerana menyalahgunakan pas.
Dalam operasi itu, Imigresen Sabah merampas 153 telefon bimbit pelbagai model, 11 komputer, satu unit pemproses pusat (CPU), sebuah pencetak, 13 penghala, tujuh pengecas, 22 kad SIM dan tiga pasport. Pelbagai mata wang asing dan ringgit Malaysia turut ditemui di premis itu.
Sitti Saleha berkata, semakan terhadap sebuah komputer yang belum dikunci menemui rekod transaksi kewangan yang dipercayai berkaitan operasi penipuan itu. Satu transaksi bernilai AS$952 dikreditkan ke akaun yang dipercayai berkait dengan sindiket, manakala transaksi lain yang disemak bernilai antara AS$950 dan AS$1,500.
"Namun begitu, kebanyakan komputer telah dikunci dan hanya satu komputer dapat diperiksa untuk rekod transaksi," katanya sambil menambah siasatan masih diteruskan.
Menurut beliau, kumpulan itu kerap berpindah dari satu premis ke premis lain untuk mengelak dikesan pihak berkuasa. "Risikan menunjukkan kumpulan ini akan meninggalkan sesuatu lokasi sebaik sahaja mereka merasakan dipantau. Apabila kami membuat pengawasan di satu lokasi, mereka mungkin sudah berpindah ke tempat lain keesokan harinya," katanya.
Berdasarkan semakan terhadap tiga pasport yang dirampas, pemegangnya dipercayai tinggal lebih masa di Sabah kira-kira dua bulan. Siasatan turut dijalankan bagi mengenal pasti majikan atau pihak yang menyewakan premis itu, selain kemungkinan unsur melindungi pendatang asing tanpa izin.
Dalam kes berasingan, dua warga China ditahan di kawasan Tamu Keningau selepas aduan orang awam bahawa mereka menjalankan aktiviti perniagaan menggunakan pas yang tidak membenarkan pekerjaan sedemikian. Seorang memegang pas kerja pakar sebagai jurutera pembinaan, manakala seorang lagi menggunakan Pas Lawatan Sosial.
Sitti Saleha memberi amaran bahawa majikan yang membenarkan pekerja melakukan kerja di luar skop pas yang diluluskan boleh dikenakan tindakan dan penalti di bawah undang-undang. Beliau menasihatkan majikan, ejen dan syarikat memastikan pekerja asing mematuhi syarat pas masing-masing, serta tidak menahan pasport atau dokumen perjalanan pekerja.
Mengenai kawalan kemasukan warga asing, beliau berkata pelancong hanya dibenarkan tinggal di negara ini selama 30 hari dan permohonan lanjutan akan dinilai dengan ketat. "Jika lanjutan dipohon atas sebab sakit, kemalangan atau rawatan perubatan, kami biasanya memberikan maksimum tiga hari untuk mereka membuat persiapan pulang," katanya.




