Rabu, 25 November 2026
TERKINI
MCA persoal kesediaan sekolah terima murid enam tahun, bimbang tekanan sistem pendidikanKLK catat kerugian bersih RM118.4 juta bagi FY26 selepas peruntukan rosot nilai RM1.61 bilionBas Kementerian Kesihatan terbakar berhampiran R&R Senawang, 14 penumpang selamatHarga RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi turun 25 sen seliter mulai 26 NovemberUntung bersih TM suku ketiga susut 28 peratus kepada RM494 jutaTiada rancangan bubar DUN Pahang, kata Wan RosdyLebih 200,000 pelarian masih di Malaysia, Syed Saddiq persoal 'transit sampai bila?'Amir Hamzah dilapor pertimbang sertai Maybank selepas tamat tempoh senatorPenduduk Pulau Pinang diminta bersiaga, air pasang besar dijangka cecah 2.71 meterPunca kematian Patrick Stewart didedahkan, sijil kematian sebut gangguan neurokognitif Lewy body

Jensen Huang didakwa mengelirukan peguam utama Nvidia tentang hubungan dengan Alice Huang

SAN FRANCISCO: Bekas Ketua Eksekutif Nvidia, Jensen Huang, didakwa mengelirukan beberapa pimpinan syarikat itu, termasuk penasihat undang-undang am Tim Teter dan ketua pemasaran Alison Wagonfeld, tentang hubungannya dengan ahli perniagaan China, Alice Huang, menurut dua individu yang mengetahui perkara itu serta surat-menyurat dalaman yang disemak Reuters.

Jensen meletak jawatan sebagai Ketua Eksekutif Nvidia pada Khamis. Dalam kenyataannya, beliau memohon maaf kerana tidak setia kepada isterinya dan mengecewakan syarikat, tetapi tidak menamakan Alice secara khusus.

Alice ialah bekas pegawai kanan Megaspeed International, pelanggan Nvidia, yang disiasat Amerika Syarikat atas dakwaan berkemungkinan mengintip untuk China. Beijing menafikan beliau pengintip. Reuters menegaskan pihaknya tidak dapat mengesahkan secara bebas sama ada Alice bertindak bagi pihak kerajaan China. Jensen dan Alice berkongsi nama keluarga yang sama tetapi tidak mempunyai pertalian.

Menurut sumber itu, pada musim luruh 2025 dan Oktober 2026, ketika pertanyaan media menarik perhatian sebahagian pimpinan Nvidia terhadap hubungannya dengan Megaspeed dan Alice, Jensen dua kali menyifatkan interaksi tersebut sebagai wajar.

Dalam dua mesej berasingan pada Oktober, beliau memaklumkan pimpinan Nvidia, termasuk Teter dan Wagonfeld, bahawa interaksi itu mencerminkan urusan perniagaan biasa dengan pelanggan. Beliau turut menegaskan sifat rutin hubungannya dengan Megaspeed. Reuters hanya menyemak mesej Oktober dan tidak menyemak surat-menyurat 2025, serta bersetuju tidak memetik mesej itu secara terus.

Jensen juga dikatakan membincangkan kemungkinan tindakan undang-undang terhadap The New York Times selepas akhbar itu menyiarkan artikel pada Oktober tahun lalu yang menarik perhatian terhadap pertemuan awamnya dengan Alice. Namun, tiada saman difailkan oleh beliau atau Nvidia. Jurucakap akhbar itu berkata mereka tidak menerima sebarang tuntutan undang-undang.

Tidak jelas bilakah hubungan itu menjadi akrab. Gambar yang disiarkan dalam talian dan disahkan Reuters menunjukkan mereka bersama di Amerika Syarikat, China dan tempat lain sejak Disember 2023.

The New York Times pada awal minggu ini melaporkan Jensen turut mempunyai hubungan luar nikah dengan seorang pekerja Nvidia, manakala Reuters pada Khamis melaporkan hubungan akrab dengan seorang lagi pekerja syarikat itu.

Pada 10 November, ahli bebas lembaga pengarah Nvidia berkata mereka melantik firma guaman Wall Street, Wachtell, Lipton, Rosen & Katz, untuk menjalankan siasatan bebas. Dalam temu bual dengan Bloomberg yang disiarkan pada 29 Oktober, Jensen berkata kerajaan Amerika Syarikat tidak memaklumkan kepadanya tentang syak wasangka terhadap Alice.

Teter dan wakil Jensen serta jurucakap Nvidia enggan mengulas, manakala Wagonfeld belum memberi maklum balas. Saham Nvidia jatuh lebih 30 peratus sejak penutup tertingginya pada 6 Oktober, menghapuskan nilai pasaran melebihi AS$1.8 trilion.

TopikJensen HuangNvidiaAlice HuangMegaspeed

Foto: Anderseidesvik / Wikimedia Commons (CC BY-SA 4.0)

Berita berkaitan