Rabu, 25 November 2026
TERKINI
Pengecualian visa warga India tamat 1 Januari 2027, permohonan dibuka 1 DisemberMCA persoal kesediaan sekolah terima murid enam tahun, bimbang tekanan sistem pendidikanKLK catat kerugian bersih RM118.4 juta bagi FY26 selepas peruntukan rosot nilai RM1.61 bilionBas Kementerian Kesihatan terbakar berhampiran R&R Senawang, 14 penumpang selamatHarga RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi turun 25 sen seliter mulai 26 NovemberUntung bersih TM suku ketiga susut 28 peratus kepada RM494 jutaTiada rancangan bubar DUN Pahang, kata Wan RosdyLebih 200,000 pelarian masih di Malaysia, Syed Saddiq persoal 'transit sampai bila?'Amir Hamzah dilapor pertimbang sertai Maybank selepas tamat tempoh senatorPenduduk Pulau Pinang diminta bersiaga, air pasang besar dijangka cecah 2.71 meter

KDN teliti kawalan keselamatan di pangkalan tentera dan polis susulan kes dadah TUDM

KULIM: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti keperluan memperketat kawalan keselamatan di pangkalan pasukan keselamatan, termasuk pangkalan tentera dan polis, susulan penemuan 96.6 kilogram dadah di sebuah pangkalan tentera udara baru-baru ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata perkara itu dibangkitkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan dijangka dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat ini, 27 November.

"Apakah kawalan kita hanya terhadap pintu masuk rasmi dan tidak termasuk pangkalan pasukan keselamatan? Bukan saja tentera, tetapi juga polis. Kita ada pangkalan gerak udara TUDM dan banyak pangkalan lain. Buat masa sekarang, fokus kita adalah kawalan pintu masuk," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni bersama Menteri KDN dan Sambutan Hari Deepavali di Kampung Paya Besar, Lunas, malam Sabtu.

Menurut Saifuddin, kawalan keselamatan ketika ini lebih tertumpu kepada pintu masuk rasmi negara. Susulan insiden itu, Perdana Menteri meminta KDN mengkaji semula perkara tersebut.

Mengenai siasatan, Saifuddin berkata risikan berhubung kegiatan penyeludupan itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak Januari lalu. Risikan itu semakin meyakinkan pada Julai sebelum polis bekerjasama dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Katanya, pemeriksaan oleh pihak tentera udara ke atas beberapa bagasi pada hari kejadian mengesahkan penemuan dadah berkenaan.

Beliau tidak menolak kemungkinan lebih banyak tangkapan dibuat, membabitkan anggota tentera dan orang awam, bergantung kepada perkembangan siasatan. Semua suspek masih ditahan reman.

"Saya tidak dapat mengesahkan sama ada penemuan itu berkaitan sindiket atau tidak. Biar polis siasat," katanya. Siasatan turut menumpukan kemungkinan kegiatan itu dilakukan secara bersindiket dan tempoh penyeludupan berlangsung.

Sebelum ini, Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan 11 individu ditahan di sekitar Lembah Klang dan Labuan bagi membantu siasatan kes pengedaran 96.64 kilogram dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM4.83 juta dengan menggunakan aset TUDM. Mereka terdiri daripada tujuh anggota TUDM, termasuk seorang koperal berusia 28 tahun dan seorang Pegawai Waran II berusia 48 tahun, serta enam orang awam.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata KDN bersama Kementerian Pengangkutan telah memperketat langkah keselamatan di pintu masuk dan keluar negara, terutamanya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), susulan penangkapan seorang pembantu juruterbang di Jakarta sebelum ini.

Antara langkah yang dilaksanakan ialah pemeriksaan 100 peratus terhadap destinasi yang dikenal pasti popular dalam kalangan penyeludup, serta pemeriksaan bagasi dan badan penumpang secara menyeluruh. "Tentunya langkah ini akan memberi kesan kepada sindiket yang menjalankan aktiviti penyeludupan," katanya.

TopikSaifuddin Nasution IsmailKDNTUDMDadahKulim

Berita berkaitan