Keluarga rayu bantuan selamatkan wanita Myanmar didakwa didera selepas diperdagang ke Iraq

YANGON: Sebuah keluarga di Myanmar membuat rayuan terbuka di media sosial agar seorang wanita muda yang didakwa diperdagangkan ke Iraq, didera teruk dan ditahan untuk wang tebusan diselamatkan, selepas dia memohon kerja pembantu rumah di Dubai.
Menurut kakaknya, mangsa berhubung dengan seorang broker pekerjaan melalui TikTok dan ke Dubai secara berhutang tanpa memberitahu keluarga. Setibanya di sana, seorang ejen merampas pasportnya dan memindahkannya ke Iraq.
Mangsa mendakwa majikannya memukulnya dengan kejam sebelum menghantarnya semula ke pejabat agensi tempatan, tempat kakitangan agensi turut didakwa menyerangnya lagi sebelum dia dihantar kembali ke rumah yang sama.
Walaupun pernah menjalani pembedahan caesarean, dia didakwa disepak pada perut dan dipukul berulang kali. Telefon bimbitnya dihancurkan, namun dia berjaya meminjam telefon rakan sekerja untuk menghubungi keluarganya.
Agensi di luar negara itu pada mulanya meminta AS$3,000 untuk membebaskannya. Namun selepas keluarga membayar jumlah itu, penahannya menaikkan tuntutan kepada AS$8,500.
Sementara itu, broker di Myanmar yang memotong gaji mangsa bagi membayar hutang perjalanan didakwa enggan bertanggungjawab. Kakak mangsa berkata ramai lagi wanita Myanmar terperangkap di Iraq dengan modus operandi sama, iaitu penempatan pembantu rumah di Dubai, lalu merayu pihak berkuasa dan orang ramai campur tangan segera serta memberi panduan undang-undang.




