Rabu, 25 November 2026
TERKINI
Pengecualian visa warga India tamat 1 Januari 2027, permohonan dibuka 1 DisemberMCA persoal kesediaan sekolah terima murid enam tahun, bimbang tekanan sistem pendidikanKLK catat kerugian bersih RM118.4 juta bagi FY26 selepas peruntukan rosot nilai RM1.61 bilionBas Kementerian Kesihatan terbakar berhampiran R&R Senawang, 14 penumpang selamatHarga RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi turun 25 sen seliter mulai 26 NovemberUntung bersih TM suku ketiga susut 28 peratus kepada RM494 jutaTiada rancangan bubar DUN Pahang, kata Wan RosdyLebih 200,000 pelarian masih di Malaysia, Syed Saddiq persoal 'transit sampai bila?'Amir Hamzah dilapor pertimbang sertai Maybank selepas tamat tempoh senatorPenduduk Pulau Pinang diminta bersiaga, air pasang besar dijangka cecah 2.71 meter

Kementerian Ekonomi tetap empat keutamaan sokong reformasi kesihatan di bawah RMK13 – Akmal Nasrullah

KUALA LUMPUR: Kementerian Ekonomi menggariskan empat keutamaan strategik untuk menyokong agenda reformasi kesihatan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), merangkumi pelaburan kesihatan, kelestarian pembiayaan, pembangunan industri dan bakat.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata keutamaan itu akan melengkapi peranan Kementerian Kesihatan melalui perancangan pembangunan negara, keutamaan sumber dan penyelarasan merentas sektor.

Menurut beliau, keutamaan pertama ialah menyelaraskan pelaburan kesihatan dengan keperluan penduduk, dengan mengambil kira akses kepada perkhidmatan, kelewatan yang boleh dielakkan, ketersediaan tenaga kerja dan sumber operasi.

Keutamaan kedua pula memperkukuh kelestarian pembiayaan kesihatan, termasuk meneroka penubuhan dana kesihatan nasional dan platform pembelian strategik, selain meningkatkan kerjasama awam-swasta dalam perkhidmatan terpilih seperti pengimejan diagnostik, pembedahan elektif dan konsultasi pakar secara maya.

Keutamaan ketiga ialah membangunkan sektor kesihatan sebagai sektor ekonomi bernilai tinggi, khususnya dalam peranti perubatan, farmaseutikal, bioteknologi, kesihatan digital dan penyelidikan klinikal. Usaha itu tertumpu kepada peralihan daripada sekadar mengimport dan menggunakan teknologi kepada membangun serta mengkomersialkan lebih banyak penyelesaian buatan Malaysia.

Keutamaan keempat ialah memperkukuh bakat dan keupayaan profesional kesihatan, termasuk kapasiti latihan, pengekalan kakitangan, taburan geografi dan campuran kemahiran pakar.

“Strategi RESET menangani tekanan terhadap kos penjagaan kesihatan swasta, antaranya melalui ketelusan harga dan pembaharuan insurans. Inisiatif utama ialah pelan asas insurans dan takaful perubatan serta kesihatan yang disasarkan untuk diperkenalkan di pasaran pada awal 2027,” katanya.

Beliau berkata usaha itu perlu melengkapi sistem kesihatan awam. “Pengawalan kos tidak sekali-kali boleh dibuat dengan mengorbankan rawatan yang sesuai dari segi klinikal,” katanya.

Akmal Nasrullah berucap ketika merasmikan Persidangan Urologi Malaysia (MUC) 2026 ke-35 di sini pada Sabtu. Turut hadir Pengerusi MUC, Dr Arvind Vashdev Jagwani; Presiden Persatuan Urologi Malaysia (MUA) yang baharu dipilih, Dr Toh Charng Chee; dan perunding urologi KPJ Selangor, Prof Datuk Dr Khairul Asri Mohd Ghani.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata kes kanser prostat yang direkodkan dalam Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia 2017-2021 meningkat kepada 6,441 kes daripada 4,189 kes bagi tempoh 2012-2016. Sebanyak 63.3 peratus kes yang maklumat peringkatnya diketahui dikesan pada Peringkat III atau IV.

Beliau menggalakkan MUA menyumbang kepada pembuatan dasar berasaskan bukti dengan berkongsi data mengenai tempoh menunggu, hasil rawatan dan kualiti hidup pesakit yang dilaporkan sendiri.

TopikAkmal NasrullahKementerian EkonomiReformasi kesihatanRMK13Kanser prostat

Berita berkaitan