Kes keganasan rumah tangga WAO naik kepada 1,759 pada 2025, penderaan digital kian membimbangkan

KUALA LUMPUR: Bilangan kes keganasan rumah tangga yang direkodkan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) meningkat kepada 1,759 pada 2025 berbanding 1,162 pada 2024, dengan corak penderaan yang semakin melibatkan penyalahgunaan teknologi digital untuk mengawal pasangan dan memantau pergerakan mereka.
Pengarah Eksekutif WAO, Nazreen Nizam, berkata peningkatan itu mencerminkan trend membimbangkan yang merangkumi keganasan psikologi, emosi dan seksual, selain keganasan fizikal yang lebih mudah dikenal pasti.
"Keganasan fizikal masih lazim dalam kes yang kami terima, tetapi ada juga kes melibatkan penderaan psikologi, emosi dan seksual, dan kebelakangan ini kami melihat lebih banyak kes keganasan berasaskan jantina yang difasilitasi teknologi," katanya.
Menurutnya, ia melibatkan individu yang menggunakan teknologi digital, termasuk kecerdasan buatan (AI) dan platform dalam talian, antara lain untuk menjejak pergerakan pasangan. Kes seumpama itu, katanya, semakin bertambah, selain keganasan dalam hubungan bercinta pasangan yang belum berkahwin.
Nazreen berkata kes penderaan membabitkan pasangan belum berkahwin, termasuk yang sedang bercinta atau bertunang, juga semakin meningkat walaupun tidak dilindungi Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. Justeru, WAO yang ditubuhkan pada 1982 menggesa skop akta itu diperluas bagi memberi perlindungan undang-undang kepada mangsa terbabit.
Beliau berkata penderaan emosi dan psikologi sering tidak disedari kerana tidak meninggalkan kesan fizikal, menyukarkan mangsa berkongsi pengalaman dan dipercayai orang sekeliling. "Ini boleh memberi kesan serius kepada kesihatan mental mangsa, malah ada yang berisiko mencederakan diri apabila merasakan tiada jalan keluar," katanya.
Mengenai sebab wanita sukar meninggalkan hubungan tidak sihat, Nazreen berkata kebergantungan kewangan kepada pasangan antara halangan utama, terutama bagi mereka yang lama tidak bekerja kerana menjaga keluarga. Katanya, keganasan rumah tangga berpunca daripada ketidakseimbangan kuasa dalam sesebuah hubungan.
WAO menggunakan pendekatan berpusatkan mangsa yang terselamat, termasuk membenarkan mereka membuat keputusan sendiri seperti sama ada mahu pulang ke rumah selepas mendapat tempat perlindungan sementara. Mangsa boleh menghubungi WAO pada bila-bila masa dan pihaknya akan membantu menyediakan pelan keselamatan jika mereka berdepan risiko penderaan lanjut.
Selain menyediakan tempat perlindungan sementara untuk wanita dan kanak-kanak, WAO membantu mangsa mendapatkan rawatan perubatan, membuat laporan polis serta mengakses bantuan kebajikan dan zakat. Perkhidmatan kaunseling disediakan melalui kaunselor bertauliah dan pekerja sosial, manakala program pemerkasaan ekonomi seperti latihan menjahit dan penyediaan makanan dianjurkan bagi membantu mangsa menjana pendapatan.
Nazreen turut berkata cara sesetengah petugas barisan hadapan menangani aduan keganasan rumah tangga masih perlu diperbaiki, dengan merujuk dakwaan bahawa ada mangsa dinasihatkan pulang kerana kes mereka dianggap remeh. Beliau menyeru latihan kepekaan jantina dan pengurusan kes keganasan rumah tangga diperluas kepada pegawai penguat kuasa, dan meminta kerajaan mengukuhkan sokongan kewangan serta peruntukan geran kepada pertubuhan bukan kerajaan yang menyediakan perlindungan, kaunseling dan pemulihan.
Orang ramai juga perlu memainkan peranan dengan membantu mangsa secara berhati-hati, termasuk menghubungi mereka apabila selamat atau meminta bantuan polis jika disyaki berlaku keganasan serius. "Apabila membabitkan keganasan rumah tangga, kita tidak boleh menjaga tepi kain sendiri. Jika kita tahu jiran mengalami keganasan, mungkin kerana boleh mendengar apa yang berlaku, kita mesti bertindak," katanya.
Mangsa atau mereka yang memerlukan bantuan boleh menghubungi talian WAO di 03-3000 8858 atau melalui WhatsApp dan SMS di 018-988 8058.
Nazreen berkata demikian ketika menyertai podcast Listen yang disiarkan menerusi laman Facebook Bernama TV dan Radio Bernama.
Foto: Wood, Henry, Mrs., 1814-1887; Wood, Charles W. (Charles William), b. 1850? / Wikimedia Commons (No restrictions)




