Malaysia gesa Asean perkukuh respons jerebu, cadang Dana Jerebu Mampan

MANILA: Malaysia menggesa Asean mengambil tindak balas serantau yang lebih proaktif dan diselaraskan terhadap jerebu rentas sempadan, selain mencadangkan kerjasama saintifik dan Dana Jerebu Mampan bagi mengukuhkan kesiapsiagaan rantau ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata kualiti udara yang merosot, termasuk tahap tidak sihat dan berbahaya di beberapa kawasan, menimbulkan risiko serius kepada kesihatan awam, mata pencarian dan aktiviti harian, terutama golongan rentan.
"Ke hadapan, Asean mesti menggerakkan tindak balas serantau yang lebih proaktif dan diselaraskan, berasaskan pelaksanaan berkesan Perjanjian Asean mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan," katanya dalam intervensi pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean (AMM) di Manila hari ini.
Beliau berkata Malaysia telah mengemukakan cadangan Diplomasi Sains dan Dana Jerebu Mampan untuk mengukuhkan kerjasama saintifik, pembiayaan mampan dan tindak balas kolektif.
Mohamad turut menyeru ratifikasi Pusat Penyelarasan Asean bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan, dengan menegaskan penempatan awalnya penting untuk meningkatkan kesiapsiagaan dan daya tindak rantau ini.
Beliau menghargai usaha berterusan Indonesia membendung kebakaran tanah dan hutan di Kalimantan dan Sumatera yang menyebabkan jerebu rentas sempadan teruk di sebahagian rantau ini, serta mengakui kesukaran akibat fenomena El Nino, cuaca yang sukar diramal dan lokasi terpencil.
Malaysia akan membawa cadangan itu ke Persidangan Pihak-Pihak kepada Perjanjian Asean mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan pada Disember, dan melalui peranannya sebagai pengerusi Jawatankuasa Pemandu Menteri mengenai Jerebu Rentas Sempadan pada 2027.
Mengenai kerjasama serantau yang lebih luas, Mohamad berkata Asean perlu memperkukuh konsensus dan mempertahankan peranan utamanya di tengah pemecahan geopolitik dan ekonomi. "Bersatu, Asean mesti terus membina dan mengekalkan seni bina serantau berasaskan peraturan serta kekal sebagai suara kewarasan," katanya.
Beliau menyambut baik termeterainya Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital Asean dan menjangkakan sidang kemuncak Asean-China akan menerima kenyataan bersama bagi menandakan ulang tahun kelima Perkongsian Strategik Komprehensif serta mewujudkan perkongsian kerjasama tenaga. Beliau turut menyebut cadangan China menetapkan 2027 sebagai Tahun Kerjasama AI Asean-China.
Mengenai hubungan Asean-Turkiye, Mohamad menyeru agar Pelan Tindakan yang menyeluruh dan berpandangan jauh dimuktamadkan segera, dengan hasil nyata dalam perdagangan, daya tahan rantaian bekalan dan kerjasama industri pertahanan.




