Malaysia gesa kerjasama lebih kukuh ASEAN Campur Tiga lindungi keselamatan ekonomi

MANILA: Malaysia menggesa kerjasama lebih kukuh dalam kalangan negara ASEAN Campur Tiga (APT) bagi melindungi keselamatan ekonomi serantau, khususnya dengan memastikan pasaran terbuka dan bekalan barangan keperluan tidak terputus ketika gangguan global.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata perlindungan keselamatan ekonomi mesti menjadi keutamaan bersama, dengan perdagangan antara ASEAN dengan China, Jepun dan Korea Selatan mencecah AS$1.4 trilion pada 2025.
"Dengan perdagangan ASEAN dan Campur Tiga mencecah AS$1.4 trilion pada 2025, kita mempunyai kepentingan jelas untuk memastikan pasaran kekal terbuka dan barangan keperluan terus bergerak," katanya.
Beliau berkata demikian dalam intervensinya pada Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga ke-29 di sini hari ini, ketika menggariskan empat bidang keutamaan bagi kerjasama serantau yang lebih mendalam.
Malaysia menggesa penggunaan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dengan lebih berkesan serta penyelarasan lebih rapat bagi memastikan aliran makanan, bahan api dan input pertanian berterusan semasa gangguan. Selain itu, rantau ini harus memanfaatkan kekuatan teknologi dan perindustrian China, Jepun dan Korea Selatan untuk menjadikan ASEAN pusat penyelesaian praktikal kecerdasan buatan (AI), disokong tadbir urus yang bertanggungjawab.
Bagi mineral kritikal, Mohamad menyeru perkongsian lebih kukuh di bawah rangka kerja kerjasama mineral APT bagi membangunkan rantaian bekalan mampan dan berdaya tahan, dengan tumpuan kepada pemindahan teknologi, pelaburan dan pembinaan keupayaan, terutama dalam pemprosesan mineral kritikal.
Dalam aspek keselamatan makanan, Malaysia mencadangkan kerjasama serantau yang lebih kukuh untuk menghadapi kejutan bekalan secara tiba-tiba. "Kita harus memperkukuh APTERR dan berusaha ke arah rangkaian rizab makanan serantau yang merangkumi komoditi penting selain beras, dengan menyatukan sumber kita bagi menghadapi kejutan bekalan mendadak," katanya merujuk kepada Rizab Beras Kecemasan ASEAN Campur Tiga.
Selain kerjasama ekonomi, Mohamad berkata negara APT perlu memainkan peranan lebih besar dalam menggalakkan keamanan serantau dan antarabangsa. "ASEAN Campur Tiga mesti menyumbang suara dan pengaruh kolektif kepada penurunan ketegangan dan keamanan berpanjangan di Asia Barat," katanya.
Malaysia turut menggalakkan China, Jepun dan Korea Selatan menyokong pembinaan semula dan pembangunan semula Gaza. Mengenai Semenanjung Korea, beliau menegaskan sokongan Malaysia terhadap dialog berterusan dan kewujudan aman, serta akan terus menggesa Korea Utara menahan diri daripada tindakan provokasi dan menyalahi undang-undang serta mematuhi kewajipan antarabangsanya, termasuk resolusi berkaitan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.




