Malaysia pilih Turkiye bekal peluru berpandu ganti NSM untuk LCS selepas Norway tak beri lesen eksport

KUALA LUMPUR: Turkiye dipilih sebagai pembekal pilihan peluru berpandu ganti bagi projek kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), selepas Norway gagal mengeluarkan lesen eksport bagi peluru berpandu serangan laut (NSM) walaupun Malaysia telah membayar untuk perolehan itu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin, berkata kerajaan telah menilai cadangan beberapa negara termasuk Turkiye, Perancis dan Itali berdasarkan harga, tempoh penghantaran dan kos pendahuluan.
Beliau berkata rundingan awal dengan Norway menemui jalan buntu dan kerajaan kini bergerak ke peringkat seterusnya penyelesaian pertikaian, iaitu menubuhkan sebuah jawatankuasa antara kedua-dua pihak.
"Jika proses itu gagal, Malaysia akan meneruskan timbang tara yang boleh diadakan di Kuala Lumpur di bawah kontrak perolehan NSM," katanya kepada pemberita selepas Sambutan Hari Inovasi Kementerian Pertahanan 2026 di Auditorium Mindef hari ini.
Mengenai pilihan Turkiye, Khaled berkata kerajaan telah menerima jaminan bahawa peluru berpandu itu serasi dengan sistem kapal LCS, namun perkara tersebut akan diperiksa lebih lanjut semasa rundingan dengan syarikat Turkiye berkenaan.
Menurutnya, peluru berpandu Turkiye itu daripada kategori permukaan ke permukaan yang sama seperti yang asalnya dirancang untuk LCS, membolehkan bekalan diperoleh lebih awal, berkemungkinan seawal 2028. Peluru berpandu itu mempunyai jarak operasi 240 kilometer, dengan kuasa letupan setanding dan keberkesanan lebih tinggi berbanding peluru berpandu lain yang ditawarkan.
Dari segi kos, Khaled berkata Malaysia tidak perlu menanggung kos penuh membeli sistem peluru berpandu baharu kerana sebahagian kos sudah diserap dalam kontrak LCS sedia ada. Kerajaan dijangka hanya perlu membayar kos pemasangan pelancar dan integrasi sistem peluru berpandu Turkiye dengan kapal.
"Jika kita tidak ada LCS, kita terpaksa memesan peluru berpandu baharu yang mungkin berharga RM700 juta, RM800 juta atau RM900 juta. Sekarang, kita tidak perlu membelanjakan jumlah itu untuk menggantikan NSM," katanya.
Khaled berkata Malaysia akan meneruskan rundingan lanjut dengan pihak Turkiye bagi memuktamadkan perkara itu.




