Malaysia tamat penantian 18 tahun, julang gelaran boling padang Hong Kong

HONG KONG: Malaysia menamatkan penantian selama 18 tahun untuk merangkul gelaran beregu wanita dalam kejohanan klasik boling padang Hong Kong apabila Nor Zamziezah dan Nur Ain Nabilah muncul juara.
Pasangan itu menewaskan wakil China, Miao Xinhong dan Yu Qiaohan, dengan kedudukan 4-6, 11-3 dan 5-0 pada perlawanan akhir.
Dalam suku akhir, Nor Zamziezah dan Nur Ain Nabilah menang 12-8 dan 8-3 ke atas pasangan Australia, Olivia Cartwright dan Natasha Van Eldik. Mereka kemudian mengatasi Hazel Jagonoy dan Angeleca Abatayo dari Filipina dengan kemenangan 11-8 dan 12-5 pada separuh akhir.
Kejayaan itu hanya kali kedua Malaysia memenangi acara berkenaan, selepas gandingan Siti Zalina Ahmad dan Nor Hashimah Ismail berjaya pada edisi 2008.
Kejohanan yang diadakan sejak 1981 itu merupakan antara pertandingan boling padang tertua dan paling berprestij di Asia.
Presiden Persekutuan Boling Padang Malaysia, Awalan Abdul Aziz, berkata kemenangan itu satu pencapaian yang cukup besar. "Ada pasukan dari England, Scotland, Ireland, Australia, New Zealand dan negara lain yang menyertainya. Jadi, untuk kita menang gelaran (beregu wanita) ini bukan sesuatu yang kecil," katanya.
Foto: Internet Archive Book Images / Wikimedia Commons (No restrictions)




