Marcos persoal kesiapsiagaan institusi Asean menjelang Wawasan 2045

MANILA: Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, mempersoalkan sama ada institusi Asean bersedia menghadapi dunia yang semakin tidak menentu dan sama ada manfaat kemajuan bloc itu sampai kepada rakyat yang menjadi tujuan penubuhannya.
Berucap pada sesi pembukaan plenari Sidang Kemuncak Asean ke-49 pada Ahad, beliau berkata lebih 100 dokumen hasil dikemukakan sepanjang sidang kemuncak dan mesyuarat berkaitan selepas rundingan berbulan-bulan. Beliau menegaskan kerjasama dengan rakan antarabangsa mesti diterjemahkan kepada manfaat praktikal.
"Kita mesti bertanya bukan sahaja ke mana Asean menuju, tetapi apa yang Asean perlu menjadi, supaya mampu mencapai destinasinya," katanya.
Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pemimpin Asean lain, Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva dan Perdana Menteri Kanada Mark Carney.
Marcos berkata Wawasan 2045 bukan sekadar aspirasi dua dekad akan datang tetapi pelan tindakan untuk keputusan hari ini, termasuk menilai sama ada institusi Asean mampu menangani persekitaran keselamatan yang lebih kompleks dan memastikan ekonomi kekal berdaya saing.
Filipina menyusun pengerusiannya berdasarkan tiga keutamaan: sauh keamanan dan keselamatan, koridor kemakmuran dan pemerkasaan rakyat. Dari segi keselamatan, beliau menekankan kerjasama maritim dan rundingan Tatakelakuan di Laut China Selatan yang berkesan selaras dengan undang-undang antarabangsa termasuk UNCLOS 1982.
Beliau menyasarkan penyempurnaan kesemua 19 hasil ekonomi keutamaan menjelang hujung 2026, termasuk menandatangani Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital Asean, serta menggesa kerjasama lebih erat antara kerajaan, perniagaan, masyarakat sivil dan komuniti.




