KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) meletakkan harapan tinggi kepada atlet negara dalam beberapa jenis sukan untuk meraih pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024 yang bakal berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos.
Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, menegaskan bahawa lima sukan utama ialah badminton, berbasikal, terjun, memanah, dan perahu layar – mempunyai potensi besar untuk meraih pingat kepada kontinjen negara.
“Atlet kita dalam sukan ini mempunyai prospek menyumbang pingat emas di temasya sukan terbesar dunia ini dan sudah tentu sasaran kita paling utama ialah pingat emas.
“Tidak sama perasaan jika seseorang itu mempunyai 10 pingat perak berbanding mempunyai hanya satu sahaja pingat emas, sudah pasti berbeza, jadi memang kita sepakat emas mesti digenggam,” katanya dalam sidang media di sini selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MOM dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), serta sambutan Hari Olimpik Sedunia 2024.
Turut hadir dalam majlis tersebut Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, serta Ketua Kontinjen Negara ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin.
Mohamad Norza turut menekankan bahawa MOM melihat peluang bagi sukan lain untuk berprestij di peringkat global.
“Kesemua atlet yang layak ke Olimpik bermaksud mereka turut punya peluang dapatkan pingat, malah mereka sudah berusaha empat tahun untuk sampai kepada peringkat itu, jadi sudah tentu mereka akan cuba sedaya upaya serta bukan sekadar sebagai ‘penumpang’ sahaja.
“Setiap mereka yang bergelar atlet pasti mengimpikan mereka mampu melayakkan diri ke Olimpik, jadi mereka sudah sampai ke tahap itu dan tugas kita sekarang adalah untuk berikan segala sokongan kepada mereka, agar dapat mempamerkan prestasi terbaik di Paris nanti,” katanya.
Beliau juga memberitahu bahawa pada masa ini, atlet berada dalam keadaan terbaik untuk menangani cabaran di Sukan Olimpik Paris.
“Ada atlet kita yang telah berada di sana sebagai persiapan terakhir mereka, begitu juga beberapa sukan lagi yang ada perancangan mereka sendiri, cuma kita nasihatkan untuk waspada dengan persiapan masing-masing bagi mengelak risiko kecederaan.
“Saya harap semua atlet terlibat berada dalam keadaan terbaik dan tidak mengalami sebarang kecederaan sebelum bermulanya saingan berkenaan,” katanya.
Sambutan Hari Olimpik Sedunia 2024 yang diadakan di UPSI turut menarik penyertaan kira-kira 5,000 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat untuk meningkatkan semangat menyokong atlet-atlet negara menjelang Sukan Olimpik Paris.