Pemarkah tertinggi peperiksaan Korea Selatan akui guna AI untuk menipu

SEOUL: Polis Korea Selatan menyiasat seorang calon yang menduduki tempat pertama dalam peperiksaan kelayakan akauntan cukai kebangsaan selepas dia mengaku secara bertulis menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk mendapatkan jawapan semasa peperiksaan.
Pengakuan itu dihantar melalui peguamnya. Agensi Polis Metropolitan Seoul berkata kes tersebut sudah diserahkan kepada pegawai penyiasat. Kementerian kewangan dan ekonomi pula dilaporkan merancang bertindak segera untuk menggantung kelayakannya.
Calon itu menduduki tempat pertama dalam kedua-dua pusingan peperiksaan yang diadakan pada April dan Julai. Dalam pusingan pertama, dia mendapat 397.5 daripada 400 markah dan hanya tersalah satu daripada 160 soalan, sehingga tercetus tuduhan bahawa dia menggunakan kacamata pintar untuk menipu. Pada mulanya, dia menafikan perkara itu.
Dalam video di saluran YouTube milik peguamnya, calon itu mengaku menipu dan berkata dia "sangat menyesal". "Saya menggunakan kamera mini untuk merakam soalan peperiksaan dan menghantarnya kepada AI, kemudian menyemak jawapan pada telefon pintar," katanya.
Peguamnya berkata butiran lanjut tidak boleh didedahkan kerana bimbang kaedah serupa digunakan orang lain.
Calon itu berkata dia menghadapi kesempitan wang selepas berhenti kerja dan memulakan perniagaan sendiri. "Saya mahu mencari wang dan tidak mahu mengecewakan ibu bapa selepas berhenti kerja yang baik," katanya.
Peperiksaan itu ditadbir oleh Perkhidmatan Pembangunan Sumber Manusia Korea (HRDK), agensi kerajaan yang mengawal selia ujian kelayakan kebangsaan. Agensi itu berkata dua penyelia hadir ketika calon tersebut menduduki ujian.
Pihak berkuasa kebelakangan ini mempergiat tindakan terhadap penipuan menggunakan kacamata pintar. HRDK berkata pada Ahad bahawa "pemeriksa AI" mengesan seorang calon memakai kacamata pintar semasa peperiksaan kelayakan jurutera gas bulan lalu.
Pada Oktober, kerajaan mengumumkan rancangan memfailkan aduan jenayah terhadap pelajar yang ditangkap menggunakan peranti sedemikian dalam peperiksaan kemasukan universiti kebangsaan. Peperiksaan Suneung yang amat sukar itu dijadual berlangsung pada 19 November dan menjadi pintu masuk ke universiti terbaik negara itu.




