KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan menerima sumbangan penajaan kira-kira RM1.8 juta bagi perlawanan Piala Sultan Selangor (TSSC) 2024 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 17 Ogos. Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah turut hadir.
Pengerusi dan Pengurus Pasukan Piala Sultan Selangor, Tan Sri Abd Karim Munisar menyatakan bahawa kerajaan negeri menyumbang Rm1 juta yang disampaikan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.
Beliau menekankan kepentingan sokongan ini dalam ekonomi yang mencabar.
“Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) menyumbang RM200,000 manakala Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB); Worldwide Holdings Berhad dan KDEB Waste Management Sdn Bhd masing-masing menyumbang RM100,000.
“RM50,000 masing-masing diterima daripada Kumpulan Semesta Sdn Bhd, Syarikat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dan Syarikat Koridor Utiliti Selangor (KUSEL).
“Syarikat pembinaan dan pembangunan hartanah Kumpulan Tanjung Balai pula sudi menaja sebuah kereta Honda City sebagai hadiah cabutan bertuah besar untuk tahun ketiga berturut-turut.
“Turut menyumbang RM50,000 adalah Aerofront City Development yang turut menaja penginapan empat hari tiga malam di Marriott Kota Kinabalu dan Noble Resort Hotel Melaka sebagai sebahagian daripada hadiah Cabutan Bertuah Piala Sultan Selangor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Sembah Ucapan pada majlis penyampaian cek sumbangan Piala Sultan Selangor 2024 dan jamuan teh di Istana Alam Shah Klang, di sini, hari ini.
Turut disebutkan adalah penjualan tiket, nasihat untuk menggunakan pengangkutan awam, serta sejarah penting TSSC sebagai gelanggang persahabatan antara Selangor dan Singapura sejak 2001.
“Penjualan tiket akan dilaksanakan sebulan sebelum perlawanan yang akan dijual di restoran Uncle K di SACC Mall Shah Alam serta di Stadium Merdeka pada hari perlawanan dengan harga RM10,” katanya.