Rundingan terus dengan Myanmar lengkapi Konsensus Lima Perkara Asean – Anwar

MANILA: Pendekatan Malaysia menangani krisis Myanmar, termasuk rundingan terus dengan pimpinan negara itu dan perbincangan bersama rakan antarabangsa, tidak bertujuan mengetepikan Konsensus Lima Perkara (5PC) Asean, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam satu hantaran di Facebook hari ini, Anwar berkata beliau telah menggariskan pendekatan Malaysia dalam sesi retreat Sidang Kemuncak Asean ke-49 pada Ahad. Pendekatan itu menekankan penglibatan langsung dan dialog berterusan dengan semua pihak bagi mencari penyelesaian lebih berkesan kepada konflik berpanjangan itu.
"Pertemuan dengan pimpinan Myanmar di Bangkok dan Beijing, diikuti lawatan rasmi Min Aung Hlaing ke Malaysia Oktober lalu, adalah sebahagian usaha ini. Pendekatan ini sama sekali tidak mengetepikan kerangka Asean dan Konsensus Lima Perkara, sebaliknya memberi ruang untuk kita menyampaikan pendirian dan jangkaan secara langsung, di samping menangani isu dua hala termasuk kebajikan warga Myanmar di Malaysia," katanya.
Anwar berkata beliau turut berkongsi butiran perbincangannya dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, yang menyentuh perkembangan di Myanmar. Menurutnya, perbincangan itu menonjolkan kepentingan mengekalkan penglibatan diplomatik dengan pelbagai pihak dalam mencari penyelesaian.
5PC dipersetujui pemimpin Asean pada April 2021 dan menyeru penghentian segera keganasan, dialog membina antara semua pihak, pelantikan utusan khas, bantuan kemanusiaan serta lawatan utusan itu ke Myanmar untuk bertemu pihak berkenaan. Myanmar terus bergolak sejak tentera merampas kuasa pada Februari 2021.
Dalam pada itu, Anwar berkata perbincangan sesi retreat itu turut merangkumi ancaman operasi penipuan rentas sempadan dan potensi kerjasama dalam kecerdasan buatan (AI).
Mengenai kerjasama tenaga, beliau menyeru agar pelaksanaan Grid Kuasa Asean dipercepat bagi memenuhi permintaan elektrik yang meningkat, khususnya daripada ekonomi digital dan sektor pusat data. Katanya, inisiatif itu juga penting untuk memperkukuh keselamatan tenaga serantau.




