WMO: Glasier kehilangan ais bersamaan lima kolam Olimpik sesaat pada 2025

Glasier dunia kehilangan lebih 400 bilion tan ais pada 2025, jumlah yang cukup untuk memenuhi lima kolam renang bersaiz Olimpik setiap saat sepanjang tahun itu, menurut laporan terkini Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Rekod global kehilangan jisim glasier bermula sejak 1975.
WMO menyatakan paras laut global mencecah tahap tertinggi pernah direkodkan, manakala suhu permukaan laut mencatat rekod bulanan pada 2026.
Laporan kemas kini suhu global itu dibentangkan pada hari pembukaan COP31, persidangan iklim PBB di Antalya, Türkiye. WMO berkata 2026 meneruskan siri panjang suhu global yang amat tinggi, pencairan ais dan kenaikan paras laut.
Pertubuhan itu menjangkakan 2026 berada dalam kalangan empat tahun paling panas dalam rekod suhu global yang bermula sejak 1850. Dari Januari hingga September 2026, purata suhu permukaan global adalah 1.47°C melebihi paras pra-industri 1850–1900, dengan ketidakpastian ±0.13°C. Tahun 2024 masih memegang rekod tahunan pada 1.55°C. Kedudukan akhir 2026 bergantung pada data setahun penuh.
Setiausaha Agung PBB, António Guterres, memberi amaran bahawa dunia telah memasuki era cuaca ekstrem yang baharu, dengan pihak yang paling kecil sumbangannya kepada krisis iklim menanggung kesan paling teruk.
“El Niño super sedang bertembung dengan planet yang sudah terlalu panas akibat perubahan iklim buatan manusia. Rekod iklim terus tumbang. Kos kemanusiaan terus meningkat. Dan mereka yang paling kurang bertanggungjawab menderita terlebih dahulu dan paling teruk,” katanya dalam kenyataan WMO pada 9 November.
Guterres menggesa pemimpin dunia bersungguh-sungguh mengurangkan pelepasan dengan lebih pantas, mempercepat peralihan adil daripada bahan api fosil serta menyediakan pembiayaan dan perlindungan yang diperlukan negara-negara mudah terjejas.
WMO turut memberi amaran bahawa El Niño boleh mengurangkan hasil tanaman, terutamanya di kawasan yang bergantung pada hujan untuk pertanian. Setiausaha Agung WMO, Celeste Saulo, berkata El Niño akan meningkatkan risiko gelombang haba, kemarau dan hujan lebat hingga 2027.
“Kita sedang memperhebat cuaca kita, dan El Niño akan menjadi pengganda risiko. Gelombang haba, taufan tropika dan ribut hujan semakin ganas lebih pantas daripada garis dasar sejarah yang menjadi asas persediaan kita,” katanya.
Menurut WMO, ratusan juta orang terdedah kepada haba melampau yang tidak tertanggung tahun ini. Di India, dianggarkan 146.5 juta orang terdedah kepada haba melampau semasa gelombang haba April. Di Nepal, keruntuhan glasier di Himalaya pada akhir Ogos mencetuskan banjir kilat yang meragut lebih 1,300 nyawa.
Anggaran awal yang dipetik WMO menunjukkan kematian di Eropah sepanjang musim panas melebihi jangkaan lebih 30,000 orang. Satu kajian yang dilaporkan akhbar The Guardian pula menganggarkan haba meragut sekitar 50,000 nyawa di 854 bandar Eropah dari Jun hingga Ogos 2026, tertinggi sejak 2000. Penyelidik mengaitkan 65 peratus kematian itu dengan perubahan iklim akibat manusia, dengan kadar kematian tertinggi di Malta, Itali dan Hungary.
Foto: European Union , Copernicus Sentinel-2 imagery / Wikimedia Commons (Attribution)




