Aaron-Roy King juara Japan Masters, sejarah beregu lelaki Malaysia

KUMAMOTO: Pasangan beregu lelaki negara, Aaron Tai-Yap Roy King, mencipta sejarah sebagai pasangan lelaki Malaysia pertama menjuarai Japan Masters selepas menewaskan pilihan tuan rumah, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, pada final Ahad.
Pasangan nombor 57 dunia itu menang 16-21, 21-13, 21-15 ke atas pasangan nombor 10 dunia yang juga bekas juara dunia itu, dalam final di Gimnasium Kumamoto Prefectural, Kumamoto.
Aaron-Roy King menunjukkan ketenangan luar biasa untuk bangkit selepas permulaan perlahan pada set pertama, sekali gus membalikkan keadaan di hadapan penyokong tuan rumah.
Kemenangan itu menjadi gelaran kedua mereka bersama selepas menjuarai Arctic Open di Finland bulan lalu, yang juga kejohanan pertama mereka beraksi sebagai pasangan. Mereka hanya bergandingan sejak sebulan lalu dan ini kejohanan kelima bersama.
Mereka membawa pulang hadiah wang AS$39,500 (RM161,400).
Ia merupakan gelaran beregu lelaki pertama buat Malaysia di Japan Masters sejak kejohanan itu dianjurkan pada 2023. Satu-satunya gelaran lain buat Malaysia di kejohanan itu dimenangi beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah, tahun lalu.
Dalam lima kejohanan bersama, Aaron-Roy King mara ke separuh akhir tiga kali, manakala dua penyertaan lain berakhir di pusingan 16 terakhir. Mereka merupakan gandingan paling berjaya antara kombinasi beregu baharu yang diuji Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebagai persiapan menuju Olimpik Los Angeles 2028.
Tugasan seterusnya pasangan itu ialah Hong Kong Open yang bermula Selasa ini.
Foto: Murray Foubister / Wikimedia Commons (CC BY-SA 2.0)




