Tangan kanan atlet angkat berat Hafizuddin dipotong selepas kemalangan jalan raya

KUALA LUMPUR: Tangan kanan atlet angkat berat kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Roslin, 22, terpaksa dipotong atas saranan doktor bagi menyelamatkan nyawanya susulan kecederaan parah dalam kemalangan jalan raya.
Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat, mengesahkan perkara itu selepas pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selesai kira-kira jam 8.40 malam Selasa, selepas hampir tujuh jam.
"Setakat pagi ini, kami belum mendapat maklumat sama ada beliau sudah dipindahkan ke wad biasa atau belum kerana masih di bawah kesan bius," katanya.
Menurut Ayub, Hafizuddin masih belum sedar selepas jam 4.30 pagi tadi dan mungkin mengambil sedikit masa untuk sedar.
PABM bersama Majlis Sukan Negara (MSN) memberi sokongan moral kepada atlet itu dan keluarganya. Kedua-dua pihak berada di hospital sejak pagi Selasa untuk mengikuti perkembangan keadaannya.
"Kita juga sudah berbincang mengenai keperluan menyediakan kaunseling dan sokongan moral kerana kita faham keadaan ini bukan mudah untuk diterima," katanya.
Hafizuddin dipercayai terbabas ketika menunggang motosikal di Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), menyebabkan kecederaan pada bahagian kaki, bahu dan kepala.
Atlet itu sebelum ini meraih pingat emas kategori 88 kilogram lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 dengan jumlah angkatan 345kg, iaitu 162kg dalam acara snatch dan 183kg bagi clean and jerk. Angkatan snatch 162kg itu juga mencipta rekod kebangsaan baharu serta rekod baharu temasya Sukan Komanwel bagi kategori berkenaan.
Foto: Virginia Tehan (mother of Karyn Marshall) / Wikimedia Commons (CC BY-SA 2.5)




