Pelan induk JS-SEZ dijangka dilancar awal 2027, kata Akmal Nasir

KUALA LUMPUR: Pelan induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka dilancar pada awal 2027, kata Menteri Ekonomi, Akmal Nasir.
Dalam satu kenyataan kepada Bernama, beliau berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua negara untuk memperkukuh kerjasama ekonomi, meningkatkan pelaburan dan mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi serta pekerjaan berkualiti kepada rakyat.
Akmal berkata perkembangan berkaitan JS-SEZ juga akan menjadi agenda utama dalam Retreat Pemimpin Tahunan Malaysia-Singapura yang dijadualkan minggu depan.
Sebelum itu hari ini, Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi, berkata pelancaran pelan induk JS-SEZ ditangguhkan buat kali kedua, dengan tarikh baharu belum ditetapkan.
Menurut Onn Hafiz, pelan induk itu sudah siap sejak Mac dan kerajaan negeri berulang kali meminta pelancarannya dipercepat. "Dalam landskap ekonomi global yang semakin kompetitif, kami tidak mahu kelewatan ini menyebabkan Johor kehilangan momentum dan peluang pelaburan," katanya dalam ucapan penggulungan Belanjawan 2027 Johor pada persidangan Dewan Undangan Negeri.




