SPRM nafi berstandard berganda, sahkan siasat isu jalan luar bandar Zahid sejak 7 Oktober

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan bahawa ia berstandard berganda dalam menangani isu yang membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.
Dalam kenyataan hari ini, SPRM mengesahkan ia memulakan siasatan berhubung isu projek jalan luar bandar pada 7 Oktober dan telah memanggil 20 saksi daripada pelbagai kementerian dan agensi.
"SPRM menghormati hak semua pihak untuk menyuarakan pendapat, kritikan dan teguran. Namun, sebarang dakwaan atau kenyataan perlu berasaskan fakta yang disahkan dan disampaikan secara bertanggungjawab, bukan semata-mata berdasarkan persepsi atau andaian," katanya.
SPRM menegaskan setiap siasatan dijalankan berdasarkan fakta, bukti dan peruntukan undang-undang, tanpa mengira jawatan, pangkat atau latar belakang individu.
Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons kepada penasihat DAP, Lim Guan Eng, yang mendakwa SPRM melengahkan siasatan terhadap Ahmad Zahid sedangkan agensi itu pantas menyiasat kementerian Hannah berhubung lanjutan pajakan tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).
Maklum balas SPRM turut menunjukkan siasatan isu jalan luar bandar hanya dimulakan selepas Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin, membuat laporan pada 6 Oktober.
Pada akhir Ogos, Ahmad Zahid mengadu tentang dakwaan kelewatan pengeluaran dana untuk projek jalan luar bandar di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah yang diselia beliau. Sebagai respons, Kementerian Kewangan mendedahkan bahawa kementerian itu kerap melebihi peruntukan bajet. Kementerian tersebut akhirnya diberi suntikan RM500 juta daripada simpanan kementerian lain.
Pada 1 Oktober, SPRM menyatakan ia hanya akan melancarkan siasatan selepas laporan dibuat, lalu Chong memfailkan laporan.
Sementara itu, Hannah menjadi sasaran kritikan UMNO sejak minggu lalu selepas kerajaan memperbaharui pajakan KLSCAH selama 99 tahun dengan premium tanah nominal RM1,000. SPRM memanggil seorang pembantunya untuk memberi keterangan pada Rabu.
Hannah menafikan melakukan sebarang salah laku. Beliau menegaskan pembaharuan pajakan dan pengurangan premium tanah daripada RM4.67 juta itu adalah sah dan diputuskan secara bebas oleh sebuah jawatankuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, selain KLSCAH bukan satu-satunya pihak yang menerima pertimbangan sedemikian.




